KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2025 – Warna-warni Malaysia yang menghimpunkan kepercayaan, budaya dan perniagaan sekali lagi menjadi tumpuan utama susulan Islamic Tourism Month (ITM) 2025 secara rasmi dilancarkan. Bermula dari 18 Ogos hingga 30 September, kempen kebangsaan ini mengajak warga tempatan dan pelancong antarabangsa untuk meneroka semula Malaysia melalui perspektif dinamik Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH). Inisiatif ini juga sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan, keterangkuman dan nilai kemanusiaan dalam pembangunan negara.
Kini memasuki tahun keempat, ITM 2025 bukan sekadar meraikan sektor pelancongan, bahkan merupakan pentas strategik untuk mengetengahkan pelbagai aspek pengalaman, nilai dan peluang. Daripada lawatan masjid hingga pakej pelancongan halal, rawatan spa hingga tawaran runcit, lapan (8) kategori yang pelbagai mencerminkan kekayaan tradisi dan gaya hidup moden yang menjadi kebanggaan Malaysia.
Kempen ini telah dilancarkan hari ini dalam satu majlis gilang-gemilang di TGV Suria KLCC, yang dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.
“ITM 2025 hadir pada waktu yang amat tepat,” ujar Khairul Firdaus.
“Malaysia baru-baru ini meraih kedudukan teratas dalam Global Muslim Travel Index (GMTI) 2025 dan Laporan State of the Global Islamic Economy 2024/2025, masing-masing sebagai Destinasi Mesra Muslim Terbaik (OIC) dan Pelancongan Mesra Muslim terunggul.
“Dengan ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality––MFTH) yang kukuh, kita mencipta pengalaman pelancongan bermakna, membuka peluang kepada perniagaan tempatan sambil berkongsi warisan dan tradisi yang kaya, terutamanya dalam usaha kita membina momentum menjelang Visit Malaysia 2026 (VM2026),” tambah beliau.
Sebagai konteks tambahan, Malaysia sekali lagi meraih kedudukan teratas dalam GMTI oleh CrescentRating, bagi kategori ‘Destinasi Mesra Muslim Terbaik’, pencapaian membanggakan negara dan dikekalkan selama sepuluh tahun berturut-turut sejak indeks tersebut diperkenalkan pada 2015.
PROMOSI, PENGALAMAN & BUDAYA: SEMUANYA DALAM SATU KEMPEN
ITM 2025 mengajak orang ramai untuk meneroka tawaran, promosi dan pakej berkaitan produk dan pengalaman mesra Muslim di seluruh Malaysia yang tersedia sepanjang bulan pelancongan ini. Sama ada pelawat tempatan atau antarabangsa, melancong bersama keluarga, secara solo, sebagai pengembara wanita, usahawan atau peminat pelancongan, ada sesuatu untuk semua di www.itm.itc.gov.my, merangkumi lapan (8) kategori berikut:
- Hari Terbuka Masjid
- Penginapan
- Pakej Pelancongan
- Spa, Kecantikan & Kesihatan
- Makanan & Minuman
- Acara & Pameran
- Beli-belah
- Tarikan Pelancong & Taman Tema
CABARAN TIKTOK ITM KEMBALI ATAS PERMINTAAN RAMAI
Salah satu tarikan utama ITM kembali lagi! Cabaran TikTok ITM mengajak pencipta kandungan Lawat, Rakam dan Viral (Visit, Video and Viral). Peserta hanya perlu berkongsi video kreatif pengalaman mereka di premis rakan strategik ITM dengan menggunakan tanda pagar #ExperienceITM2025. Mereka berpeluang memenangi hadiah menarik dengan nilai keseluruhan lebih dari RM50,000, termasuk percutian menarik ke Xi’an, China, dan pelayaran mewah bersama Aroya Cruises. Ia menyeronokkan, mudah disertai dan meraikan penemuan autentik, selaras dengan idea asal ITM sejak pelancarannya.
ITC: MENERAJUI HALA TUJU PELANCONGAN MESRA MUSLIM
“Benih yang ditanam pada tahun 2022 kini telah bercambah menjadi acara yang meraikan kekayaan tarikan mesra Muslim Malaysia, satu penghargaan kepada ekosistem MFTH yang kukuh dan berkembang,” kata Pemangku Ketua Pengarah ITC, Nur Alyssa Coraline Yussin.
“Menjelang VM2026, kita ingin kongsi keindahan budaya Malaysia dengan dunia. Pelancongan mesra Muslim di Malaysia menawarkan pengalaman asli, mudah diakses dan mencerminkan gaya hidup tempatan. Kita mengalu-alukan pelancong domestik dan antarabangsa untuk meneroka tawaran sepanjang ITM dan memanfaatkan promosi yang tersedia,” tambah beliau.
Sejak 2022, ITM disertai oleh lebih 300 rakan industri, menjana nilai lebih RM5 juta sambil memperluas akses tawaran pelancongan mesra Muslim dalam negara.
ITM 2025 DISOKONG KEPENGERUSIAN ASEAN, LONJAKAN KETIBAAN PELAWAT
ITM 2025 berlangsung seiring dengan Kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, menjadikannya masa yang amat sesuai untuk memperkukuh pelancongan serantau yang inklusif dan mesra Muslim. Menurut Tourism Malaysia, tiga daripada negara ASEAN menduduki senarai teratas ketibaan pelawat ke Malaysia dari Januari hingga April 2025:
- Singapura (6,526,262 pelawat; peningkatan 28.5% tahun ke tahun),
- Indonesia (1,466,923 pelawat; peningkatan 11.6%),
- dan Thailand (833,610 pelawat; peningkatan 3.4%)
Statistik ini menunjukkan potensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong dalam kalangan negara-negara ASEAN melalui ITM 2025. Bagi ITC, gabungan momentum serantau dan minat pelancongan yang semakin meningkat dijangka menjadikan edisi tahun ini lebih berjaya berbanding sebelumnya, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan mesra Muslim di Asia Tenggara.
PENGALAMAN BAHARU MELANCONG DI MALAYSIA BERSAMA ITM 2025
Daripada pengalaman yang tidak dapat dilupakan hingga tawaran yang sukar ditolak, ITM 2025 adalah jemputan untuk semua menjejaki Malaysia dari sudut yang berbeza. Terokai tawaran yang tersedia dan sertai kemeriahan ini di www.itm.itc.gov.my. Ikuti perjalanan ITM di Instagram (@itm_itc) dan Facebook (Islamic Tourism Month) untuk maklumat terkini. Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, ITM 2025 bukan sahaja meraikan kepelbagaian tarikan mesra Muslim, tetapi juga memperlihatkan bagaimana nilai keterangkuman, hormat, ihsan, inovasi, kesejahteraan dan keberdayaan ekonomi dapat dizahirkan melalui pelancongan. Inilah yang menjadikan Malaysia sebuah destinasi yang mesra, berbudaya, dan relevan kepada dunia.
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA (MOTAC)
Tel: 03-8000 8000 Fax: 03-8891 7181
Website: www.motac.gov.my Emel: group.ukk@motac.gov.my
Facebook, Instagram, X & TikTok: @mymotac
