ITC PERLUAS LATIHAN MFAR KEPADA PENGUSAHA HOMESTAY SABAH, PERKUKUH KERJASAMA BERSAMA PPHM

KOTA KINABALU, SABAH, 18 NOVEMBER 2026: Islamic Tourism Centre (ITC) meneruskan usaha memperluas pelaksanaan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) dalam kalangan pengusaha homestay menerusi Program Latihan Kompetensi MFAR bagi Pengusaha Homestay Negeri Sabah yang berlangsung pada 18 hingga 19 November 2026 di Raia Hotel Kota Kinabalu.
Seramai 133 peserta homestay menyertai program kali ini, yang merupakan siri ketiga inisiatif pembangunan kompetensi yang dilaksanakan melalui kerjasama ITC dan Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia (PPHM).

Kerjasama strategik ini bermula dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ITC dan PPHM pada 4 Ogos 2026 di Kampungstay Desa Murni, Temerloh, Pahang. MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pengarah ITC, Encik Mohammad Faisal bin Abu Suaib Khan, dan Presiden PPHM, Dato’ Haji Sahariman bin Hamdan.

Melalui MoU ini, kedua-dua pihak komited untuk memperluas penyertaan pengusaha homestay dalam laluan MFAR melalui latihan, bimbingan dan sokongan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta kesiapsiagaan mereka memenuhi keperluan pelancong Muslim.

Sejak pemeteraian MoU tersebut, beberapa inisiatif telah dilaksanakan secara berperingkat. Program latihan pertama pada bulan Ogos melibatkan lebih 90 pengusaha homestay sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan kompetensi ahli PPHM.

Pada bulan Oktober, program latihan seterusnya turut melibatkan 15 peserta dari Meijo University, Jepun dan Kolej Vokasional Temerloh. Program dua hari itu memberi pendedahan kepada peserta mengenai keperluan pelancong Muslim serta penerapan amalan mesra Muslim dalam pengurusan homestay. Para peserta yang berjaya melengkapkan latihan dan penilaian telah diiktiraf sebagai Wakil MFAR.

Pelaksanaan program di Sabah ini meneruskan usaha tersebut dengan memberi peluang kepada pengusaha homestay tempatan untuk meningkatkan pengetahuan dan memahami pelaksanaan MFAR dalam konteks operasi homestay.

Ketua Pengarah ITC, Encik Mohammad Faisal bin Abu Suaib Khan, berkata: “Kerjasama dengan PPHM membolehkan ITC memperluas pembangunan kompetensi secara lebih tersusun dan mendekati pengusaha homestay di pelbagai negeri. Melalui latihan ini, pengusaha dapat memahami keperluan pelancong Muslim dan mengenal pasti penambahbaikan yang boleh dilaksanakan dalam operasi masingmasing.

“Matlamat kita adalah untuk menyasarkan penyertaan 100 pengusaha homestay dalam laluan MFAR. Kita berharap usaha ini dapat diteruskan secara berperingkat dengan sokongan PPHM, supaya lebih ramai pengusaha berpeluang meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan mereka.”

Sementara itu, Presiden PPHM, Dato’ Haji Sahariman Hamdan, berkata: “Homestay merupakan antara produk pelancongan yang mempunyai keunikan tersendiri kerana menawarkan pengalaman yang lebih dekat dengan budaya, warisan dan kehidupan masyarakat tempatan. Melalui homestay, pelancong berpeluang mengenali Malaysia bukan sekadar sebagai sebuah destinasi, tetapi melalui pengalaman sebenar bersama komuniti setempat.

“Justeru, PPHM komited untuk terus menggalakkan pengusaha homestay meningkatkan mutu perkhidmatan, menjaga kebersihan dan keselesaan serta memberikan layanan yang baik kepada setiap pengunjung. Kami percaya kualiti pengalaman yang konsisten akan meningkatkan keyakinan pelancong, mengukuhkan daya saing produk homestay dan menyumbang kepada usaha mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, termasuk dalam pasaran pelancong Muslim.”

Program Latihan Kompetensi MFAR memberi pendedahan kepada peserta mengenai kerangka dan keperluan MFAR, termasuk aspek pensijilan halal, prosedur sertu, penyediaan makanan dan minuman halal serta penggunaan logo MFAR. Peserta turut didedahkan kepada proses permohonan dan dokumentasi pengiktirafan, selain menjalani penilaian bagi mengukur kefahaman terhadap perkara yang dipelajari.

Inisiatif ini turut menyokong pembangunan Program Pengalaman Homestay Malaysia yang terus memberi sumbangan kepada ekonomi komuniti. Bagi tempoh Januari hingga September 2026, Program Pengalaman Homestay Malaysia telah merekodkan seramai 662,848 orang pengunjung, termasuk 47,975 pelancong antarabangsa, dengan jumlah pendapatan sebanyak RM46,047,026.86.

ITC akan terus bekerjasama dengan PPHM bagi memperluas latihan dan pembangunan kompetensi kepada pengusaha homestay di seluruh negara. Usaha ini diharap dapat memperkukuh kualiti pengalaman homestay Malaysia, di samping mengetengahkan keunikan budaya, warisan dan kehidupan komuniti tempatan kepada pelancong dari dalam dan luar negara.

Statistik Homestay
https://www.motac.gov.my/wp-content/uploads/2026/10/9.-Statistics-Report-as-of-September-2026.pdf

KUMULATIF PRESTASI PENDAPATAN & KEDATANGAN PELANCONG PPHM
1 JANUARI HINGGA 30 SEPTEMBER 2026

BIL. NEGERI JUMLAH PENDAPATAN (RM) PELANCONG DOMESTIK PELANCONG ASING JUMLAH PELANCONG
1
Perlis
96,448.47
2,079
19
2,098
2
Kedah
927,297.00
12,117
77
12,194
3
Pulau Pinang
2,482,325.20
26,980
4,229
31,209
4
Perak
539,911.00
4,650
554
5,214
5
Selangor
603,493.00
6,851
1,712
8,563
6
Melaka
904, 321.00
5,614
551
6,165
7
N. Sembilan
1,007,662.25
9,193
481
9,674
8
Johor
5,598,300.30
239,122
2,277
241,399
9
Kelantan
441,231.00
9,285
35
9,320
10
Terengganu
2,332,601.00
45,827
1,116
46,943
11
Pahang
9,402,535.76
78,341
367
78,728
12
Sarawak
8,381,004.01
57,355
3,505
60,860
13
Sabah
12,895,201.87
114,440
33,032
147,472
14
W.P Labuan
434,059.00
3,009
O
3,009
JUMLAH
46,047,026.86
614,673
47,975
662,648

Mengenai Islamic Tourism Centre

Islamic Tourism Centre (ITC) merupakan sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan segmen Pelancongan Islam bagi Malaysia. ITC memperjuangkan pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH) melalui penyediaan penyelidikan dan risikan pasaran, latihan, khidmat rundingan pembangunan industri, piawaian serta pengiktirafan perkhidmatan, dan pertukaran maklumat.

Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR)

Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) merupakan program pengiktirafan kepada produk dan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim berdasarkan standard yang dibangunkan oleh Malaysia dan diterima pakai di peringkat antarabangsa. MFAR menyokong perniagaan yang menawarkan nilai tambah kepada pelancong Muslim melalui produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan berasaskan syariah. Pada masa ini, MFAR merangkumi skim penginapan, perniagaan pengendalian pelancongan (travel operating business) serta spa dan kesejahteraan (spa and wellness). Bagi MFAR untuk skim penginapan, terdapat empat kategori iaitu Lite, Silver, Gold, dan Platinum—semakin tinggi kategori, semakin komprehensif elemen mesra-Muslim yang disediakan.

Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG)

Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG) merupakan pengiktirafan yang dianugerahkan kepada pemandu pelancong yang telah mendapat lesen daripada pihak berkuasa berkaitan, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta berjaya menamatkan Kursus Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG). Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kompetensi dan kualiti penyampaian perkhidmatan pemandu pelancong dalam memenuhi keperluan dan keutamaan pelancong Muslim berdasarkan tuntutan agama mereka.

Untuk maklumat lanjut, sila e-mel comms@itc.gov.my atau individu yang berkenaan:
Anis Ramli, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 012 321 9137
Siti Rahmah Lehan, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 012 9070 993
Nurin Sufia Muazamir, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 019 8013 400

Scroll to Top