Gotong royong antara Islamic Tourism Centre (ITC) dan Komuniti Penjara Sungai Udang sempena program Qalbi Ramadan.
“Kemanisan Ramadan lebih dirasai apabila rezeki dinikmati bersama,” inilah iktibar yang membakar semangat Islamic Tourism Centre (ITC) dalam menjayakan program kebajikan Qalbi Ramadan setiap tahun.
Program Qalbi Ramadan, yang diperkenalkan pada tahun lalu, merupakan salah satu usaha Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility – CSR) ITC dalam menyantuni masyarakat sempena bulan Ramadan. Menepati tema “Santunan Kasih”, program Qalbi Ramadan tahun ini menyantuni 3,000 individu komuniti Penjara Sungai Udang yang terdiri daripada warga kerja dan penghuninya. Program ini memberi fokus kepada bantuan keperluan asas, perkongsian rezeki dan pengukuhan hubungan bersama komuniti.
Antara aktiviti menarik adalah program rewang serta penyediaan juadah berbuka puasa oleh warga ITC bersama komuniti tersebut. Sebanyak 1,000 pek bubur lambuk turut diedarkan kepada seluruh komuniti setempat sebelum program diakhiri dengan majlis berbuka puasa.
Selain dari itu, ITC turut menyediakan pengisian istimewa untuk komuniti ini menerusi sesi motivasi bersama penceramah motivasi, YBhg. Dato’ Aidit Ghazali. Semangat ukhuwah sempena program Qalbi Ramadan disemarakkan lagi dengan sumbangan dari sembilan (9) organisasi telah turut menghulur bantuan bersama ITC sebagai rakan strategik kepada komuniti program tersebut dalam bentuk barangan keperluan peribadi dewasa dan bayi, peralatan kesihatan, perabot dan pelbagai kelengkapan bagi meningkatkan kualiti kemudahan di fasiliti berkenaan. Kesemua penyumbang tersebut adalah:
a. GIT Tours and Travels Sdn. Bhd.;
b. AORA Spa and Wellness, Bentong;
c. Ryvera Chocolate Factory;
d. Wiya Travel and Tour
e. PC Rent Sdn. Bhd.;
f. Print Expert Sdn. Bhd.;
g. Nasyrul Quran;
h. Malaysian Travel Business (MTB); dan
i. Tourism Malaysia
Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan meluahkan rasa syukur atas peluang untuk mengendalikan program kebajikan ini, “Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan mengajar kita nilai-nilai ihsan dan sifat berkongsi. Melalui program Qalbi Ramadan, ITC mahu terus menyumbang bakti dan menyantuni golongan yang memerlukan. Usaha ini sebenarnya seiring dengan prinsip Pelancongan Mesra-Muslim dan Hospitaliti (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality – MFTH) yang sentiasa mengutamakan nilai-nilai murni Islam demi membina masyarakat yang lebih prihatin dan harmoni.”
Siri Qalbi Ramadan diperkenalkan pada tahun 2025 oleh ITC sebagai tanda nilai keprihatinan berterusan agensi ini dalam menjulang nilai kemanusiaan, sekali gus membuktikan bahawa inti pati MFTH itu sendiri menjulang sifat rahmah dan membina jambatan kasih antara insan.
TAMAT






