Kota Bharu, Kelantan, 14 Julai 2025 – Malaysia terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pelancongan mesra Muslim global menerusi pelancaran Direktori Masjid Pelancongan dan penganjuran Persidangan Meja Bulat Pelancongan Masjid (MTRT). Program ini dianjurkan oleh Islamic Tourism Centre (ITC) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), dan telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
Inisiatif ini selaras dengan prinsip Malaysia MADANI yang menekankan pemerkasaan komuniti, keterangkuman dan penghormatan terhadap kepelbagaian, khususnya dalam menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan sosial dan budaya.
Acara ini berlangsung di Hotel Perdana Kota Bharu, sebuah hotel yang diiktiraf dengan status Platinum di bawah program pengikitrafan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR), sebagai lokasi rasmi penganjuran.
Direktori Masjid Pelancongan yang boleh diakses dalam versi digital di mymuslimtrip.com merupakan panduan mesra pengguna untuk pelancong dan pemain industri pelancongan dalam meneroka masjid-masjid di seluruh Malaysia. Direktori ini dibangunkan bagi memenuhi keperluan pelancong yang mencari masjid berdasarkan minat pelancongan mereka – sama ada untuk beribadah, lawatan budaya mahupun pengalaman warisan. Pada masa yang sama, ia membantu masjid-masjid yang bersedia menerima pelancong untuk mendapat pendedahan dan capaian yang lebih meluas.
Dalam ucapannya, YB Datuk Khairul Firdaus berkata, “Direktori ini bukan sekadar senarai lokasi, tetapi satu platform yang membolehkan pelancong mengakses maklumat tentang masjid secara mudah, termasuk latar belakang sejarah, komuniti setempat, kemudahan yang disediakan serta tarikan pelancongan berdekatan.”
Usaha ini turut memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk memainkan peranan dalam pelancongan, selari dengan semangat Malaysia MADANI yang menitikberatkan keterlibatan rakyat dan kesejahteraan bersama.
Sehubungan dengan pelancaran direktori ini, MTRT telah diadakan selama dua hari, menghimpunkan lebih 90 peserta dari seluruh Malaysia, termasuk pegawai dan sukarelawan masjid. Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan jumlah masjid pelancongan di Malaysia, memperluas pilihan tarikan mesra Muslim untuk pelancong, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2062), serta menggalakkan penyertaan dalam program latihan Mosque Visit Guide (MosVi) dan penyertaan sukarelawan masjid di seluruh negara.
Program ini menampilkan beberapa sesi berinformasi seperti “Jelajah Rohani di Masjid Inspirasi” oleh ITC dan JAKIM yang memperlihatkan kepakaran dalam bidang pelancongan Islam dan bimbingan keagamaan. Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn, Johor Bahru turut mengambil bahagian untuk berkongsi tentang contoh amalan terbaik dalam pengurusan masjid pelancongan.
Antara sesi lain termasuk “Kemas dan Karisma” mengenai etika hospitaliti oleh Encik Amin Idris, perunding imej dan pengacara televisyen; serta “Suara Masjid, Wajah Islam” mengenai kemahiran komunikasi berkesan oleh Profesor. Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
YB Datuk Khairul Firdaus turut menekankan kepentingan pelancongan masjid dalam menyampaikan nilai-nilai Islam, konsep kesederhanaan dan pemahaman antara budaya.
Beliau berkata, “Pelancongan masjid seharusnya dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan pengunjung dengan nilai, warisan dan kesederhanaan Islam, di samping menggalakkan dialog antara budaya dan agama. Dengan komitmen pihak berkuasa tempatan dan usaha bersepadu semua pihak, saya yakin Malaysia mampu menjadi peneraju global dalam bidang pelancongan masjid.”
Sebagai sebahagian daripada program, lawatan teknikal turut diadakan ke beberapa lokasi pelancongan mesra Muslim termasuk Masjid Beijing Rantau Panjang yang terkenal dengan seni bina bercirikan China, dan Desa Gemalai Baruh Padi Alami, sebuah perkampungan tradisional agro-pelancongan di Kampung Lubok Jambu. Lawatan ini menyokong usaha untuk menyelaras ekosistem pelancongan dengan keperluan pelancong Muslim.
Secara keseluruhan, MTRT menggalakkan penglibatan komuniti melalui penceritaan, aktiviti budaya dan kegiatan ekonomi berasaskan warisan. Usaha ini menyokong kedudukan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim nombor satu dunia, yang telah dikekalkan selama sepuluh tahun berturut-turut menurut Global Muslim Travel Index (GMTI) oleh Mastercard-Crescentrating.
Edisi MTRT 2025 ini merupakan penjenamaan semula kepada National Imam Roundtable – Mosque Tourism Edition, yang pernah dianjurkan di Putrajaya (2014), Kuala Terengganu (2017), dan Pulau Pinang (2019). Dijalankan secara bersama oleh ITC, MOTAC ,dan JAKIM persidangan meja bulat ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam membangunkan pelancongan masjid secara bertanggungjawab, inklusif dan mampan demi manfaat negara, industri pelancongan, dan komuniti setempat.
Pendekatan ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang mengutamakan pembangunan seimbang antara pelancongan, komuniti dan nilai murni, demi manfaat bersama.
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA (MOTAC)
Tel: 03-8000 8000 Fax: 03-8891 7181
Website: www.motac.gov.my Emel: group.ukk@motac.gov.my
Facebook, Instagram, X & TikTok: @mymotac
