PENJELASAN PROGRAM PENGIKTIRAFAN MFAR

Islamic Tourism Centre (ITC) mengambil perhatian dan ingin memberi penjelasan mengenai penyebaran maklumat tidak tepat berhubung program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) dalam talian di laman media sosial baru-baru ini.

ITC ingin memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa MFAR ialah program pengiktirafan produk dan perkhidmatan pelancongan serta hospitaliti yang sah oleh ITC di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Ia merupakan pengiktirafan bagi produk-produk pelancongan mesra-Muslim, termasuk penginapan pelancongan, syarikat agensi pelancongan dan premis spa dan kesejahteraan, berdasarkan garis panduan yang telah dibangunkan oleh ITC.

Tujuan utama MFAR ialah untuk menyediakan pengalaman pelancongan yang selesa, selamat dan berteraskan prinsip Islam bagi pelancong Muslim. Inisiatif ini menetapkan standard yang jelas dan tinggi untuk sektor pelancongan dan hospitaliti dari segi penyediaan ruang solat, makanan Halal, keselesaan pelancong, dan lain-lain. Dalam hal makanan dan minuman di mana-mana premis pelancongan, sijil pengesahan Halal adalah dititikberatkan. Standard tinggi yang diterapkan dalam program MFAR ini sekaligus memberi manfaat dan boleh dinikmati oleh pelancong bukan Muslim yang menghargai pengalaman pelancongan yang menekankan nilai-nilai murni dan kesejahteraan.

Penting untuk dijelaskan bahawa MFAR bukan sebuah badan pengesahan status Halal dan ia tidak bertujuan untuk menggantikan sijil pengesahan Halal. MFAR dibangunkan untuk melengkapkan standard dan pensijilan yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Standard Malaysia untuk mengiktiraf perniagaan pelancongan yang menghormati keperluan pelancong Muslim. 

ITC mengakui JAKIM sebagai satu-satunya badan pensijilan Halal Malaysia, dan ITC sentiasa bekerjasama rapat dengannya. Sehubungan itu, pengiktirafan MFAR ini dilaksanakan secara berstruktur dengan adanya pembangunan garis panduan, penyediaan kursus, pematuhan, pengauditan dan pengesahan panel yang turut melibatkan pihak JAKIM dan lain-lain pihak berwibawa di setiap peringkat.

Sebagai agensi kerajaan yang ditubuhkan pada tahun 2009 di bawah MOTAC dengan mandat untuk menyelia dan membangunkan ekosistem pelancongan mesra Muslim di Malaysia, ITC komited untuk memposisikan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim yang diyakini.

ITC menggalakkan orang ramai serta semua pihak berkepentingan untuk merujuk kepada saluran rasmi ITC bagi mendapatkan maklumat yang sahih me ngenai program MFAR. ITC memandang serius sebarang fitnah atau penyebaran maklumat tidak tepat yang dilakukan tanpa semakan dan pengesahan yang sewajarnya. 

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi comms@itc.gov.my.

Scroll to Top