RM2.65 JUTA JUALAN BUKTI KEJAYAAN ITM 2025, MENUJU TAHUN MELAWAT MALAYSIA 2026

PUTRAJAYA, 4 DISEMBER 2025 – Islamic Tourism Month (ITM) 2025 berjaya mencapai sasaran pendapatan jualan bernilai RM2.65 juta, sekali gus menutup tirai kempen nasional pelancongan mesra Muslim yang menyatukan rakan strategik, memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan menarik perhatian khalayak merentas generasi dan sempadan. Sepanjang lebih 40 hari penganjuran, ITM 2025 mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam pelancongan inklusif berasaskan nilai keagamaan, dengan memanfaatkan posisi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Dianjurkan oleh Islamic Tourism Centre (ITC) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), ITM tahun ini menyaksikan penyertaan 160 rakan strategik, termasuk pelbagai jenama hospitaliti, premis halal bertauliah dan masjid seluruh negara. Gabungan pelbagai elemen ini mencorak kalendar acara, promosi dan inisiatif pendidikan yang dinamik, menonjolkan warisan Islam Malaysia yang kaya serta kecemerlangan sektor pelancongan negara.

Salah satu sorotan utama ialah ITM 2025 TikTok Challenge, yang telah menarik 144 penyertaan dan 1.7 juta tontonan. Pelawat dari dalam dan luar negara menampilkan kreativiti mereka dengan merakam pengalaman pelancongan mesra Muslim, jejak makanan halal dan khazanah budaya di seluruh negara, sekali gus memperkukuh daya tarikan Malaysia kepada pelancong generasi baharu.

Lanjutan itu, ITC mengumumkan empat pemenang teratas ITM 2025 TikTok Challenge yang akan membawa pulang hadiah dengan nilai lebih RM50,000 seperti berikut:

– Hadiah Utama: @myhalalexplorer,
(Pakej pelancongan 7H6M ke Xi’an, China untuk 2 orang + kad prabayar RM1,000), RM600 baucar Siti Khadijah, 1 x Tiket Pawagam TGV

– Hadiah ke-2: @mamaaisyatihani,
(Pelayaran Islamik 3H2M bersama Aroya Cruises untuk 2 orang + kad prabayar RM1,000), RM500 baucar Siti Khadijah, 1 x Tiket Pawagam TGV

– Hadiah ke-3: @angahbuathal
(Pakej 4H3M ke Kota Kinabalu & Kundasang (Island Hopping) untuk 2 orang + kad prabayar RM1,000), RM400 baucar Siti Khadijah, 1 x Tiket Pawagam TGV

– Hadiah ke-4: @akimyzm
(Penginapan 3H2M di Berjaya Times Square Hotel + tiket Taman Tema BTS & Muzium Kesenian Islam untuk 4 orang + kad prabayar RM1,000), RM300 baucar Siti Khadijah, 1 x Tiket Pawagam TGV

Satu lagi inisiatif berimpak tinggi ialah Hari Terbuka Masjid, yang dianjurkan di 8 buah masjid di seluruh negara, menyambut kehadiran pelawat tempatan dan antarabangsa untuk sesi lawatan berpandu, dialog antara agama dan pengalaman kebudayaan. Acara yang menarik lebih 3,000 pelawat ini membantu komuniti setempat menjana lebih RM16,000 ini menerima reaksi positif meluas atas usaha memupuk kefahaman dan keterlibatan komuniti.

Sepanjang tempoh penganjuran, ITM 2025 turut menampilkan PMKS dalam lapan kategori hospitaliti utama: Hari Terbuka Masjid, Penginapan, Pakej Pelancongan, Spa, Kecantikan dan Kesihatan, Makanan dan Minuman, Acara dan Pameran, Beli-belah, dan Tarikan Pelancongan dan Taman Tema. Usahawan tempatan diperkasa melalui promosi tersusun, pelancaran produk dan penceritaan digital yang diterajui oleh ITC melalui kempen ITM 2025. Daripada produk halal, kraftangan hingga inap desa mesra alam, PMKS pelancongan Malaysia memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman melancong yang asli dan berkualiti tinggi.

“ITM 2025 menonjolkan kekuatan kolaborasi, kreativiti dan jati diri budaya Malaysia. Kita bukan sahaja bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia (VM2026), malah bersedia untuk menerajui dunia dalam sektor Pelancongan Mesra-Muslim,” maklum Pemangku Ketua Pengarah ITC, Puan Nur Alyssa Coraline Yussin.

Dengan jumlah ketibaan pelawat yang memberangsangkan dan liputan media antarabangsa yang meluas, ITM 2025 telah meningkatkan keterlihatan Malaysia di peta pelancongan global. Kejayaan kempen ini membuka laluan kepada inisiatif yang lebih meluas pada tahun 2026, termasuk program pensijilan baharu, platform digital dan kerjasama rentas sempadan.

Kejayaan ITM 2025 sejajar dengan prinsip teras Malaysia MADANI, khususnya dalam menggalakkan kemakmuran melalui pembangunan ekonomi yang mampan dan penghormatan budaya. Penekanan terhadap PMKS, galakan inovasi digital dan penyediaan pengalaman pelancongan yang inklusif memamerkan dedikasi kerajaan terhadap kerangka pembinaan yang saksama dan berlandaskan nilai, yang merupakan teras kepada wawasan MADANI.

Majlis Penghargaan ITM 2025 yang berlangsung di Hotel Westin Kuala Lumpur ini dihadiri oleh Timbalan Menteri MOTAC, YB Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan. Komitmen Malaysia terhadap pelancongan yang inklusif, mampan dan menghormati budaya terus diperkukuh dengan ITC menerajui usaha ke arah masa depan yang lebih bertenaga dan saling berhubung di peringkat global.

TAMAT

MENGENAI ISLAMIC TOURISM MONTH 2025

Hari Terbuka Masjid
Acara ikonik ITM yang paling digemari, yang mana masjid-masjid terindah di Malaysia membuka pintu kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Terokai keindahan budaya Islam Malaysia melalui lawatan berpandu, pameran dan aktiviti komuniti yang interaktif, bertujuan memupuk kefahaman, penghargaan budaya dan hubungan bermakna.

● Penginapan
Dari tanah tinggi yang nyaman ke pantai yang hangat dan destinasi bandar yang menarik, nikmati diskaun eksklusif dan pakej khas sempena ITM 2025. Nantikan tawaran yang memenuhi selera serta keperluan keluarga, pengembara mewah, perantau muda dan ramai lagi.

● Pakej Pelancongan
Nikmati pakej pelancongan bebas-stres yang memudahkan perancangan dan menawarkan nilai hebat. Direka untuk mereka yang mencari pengembaraan dan ketenangan. Setiap pakej
menggabungkan elemen lancar, mudah, selesa dan pengalaman tulen yang mengasyikkan.

● Kecantikan, Kesihatan dan Spa
Dalam era penjagaan diri dan gaya hidup seimbang yang semakin menjadi aspek penting, ITM 2025 menghimpunkan pilihan spa, pusat kecantikan dan kesihatan yang menenangkan. Daripada rawatan tradisional Melayu hingga terapi moden, setiap perkhidmatan disusun dengan teliti, termasuk pilihan mesra jantina untuk ketenangan minda.

● Makanan dan Minuman
Makan adalah keperluan, tetapi sempena ITM 2025, lebih daripada sekadar mengisi perut setiap hidangan menjadi peluang untuk meneroka. Nikmati pelbagai sajian halal dengan promosi istimewa yang menjadikan pengalaman menjamu selera lebih memuaskan dan menyeronokkan.

● Acara dan Pameran
Tingkatkan kemahiran, perluaskan rangkaian dan sertai pelbagai acara serta pameran sepanjang bulan pelancongan ini. Bertemu dengan individu yang berkongsi minat di acara utama seperti Global Halal

Summit (GHaS) (16 hingga 18 September 2025) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) (17 hingga 20 September 2025). Program latihan MFTG anjuran ITC juga dibuka untuk pendaftaran kepada pemain industri yang layak, bersama aktiviti lain seperti sesi peningkatan kemahiran spa dan kecantikan serta acara mendaki berpandu yang menggabungkan pembelajaran, rekreasi dan gaya hidup.

Beli-belah
Terapi membeli-belah kini hadir dengan ganjaran tambahan sepanjang bulan pelancongan ini. Daripada keperluan harian hingga barangan mewah yang diidamkan, promosi khas menjadikan masa ini paling sesuai untuk membeli apa sahaja yang anda perlukan dan mahukan.

● Tarikan Pelancongan dan Taman Tema
Inilah masa terbaik untuk meneroka pelbagai tarikan Malaysia dari muzium dan mercu tanda budaya hingga destinasi mesra keluarga seperti Taman Tema Berjaya Times Square dan banyak lagi.

MENGENAI ISLAMIC TOURISM CENTRE
ITC merupakan sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang diberi mandat untuk membentuk segmen Pelancongan Islam untuk Malaysia. ITC mempromosikan Pelancongan Mesra Muslim (MFT) dengan menawarkan kajian pasaran, latihan dan khidmat rundingcara untuk pembangunan industri serta penarafan perkhidmatan dan pertukaran maklumat berkaitan perkhidmatan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH).

Malaysia telah diiktiraf sebagai negara utama dalam sektor MFTH di rantau ini oleh State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2025. Malaysia turut mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi Mesra Muslim utama dalam Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2025, kedudukan yang dipertahankan sejak indeks tersebut dilancarkan pada tahun 2015. Pada masa sama, Malaysia turut diiktiraf sebagai Destinasi Utama Mesra Muslim Tahunan (OIC) dan Destinasi Utama Mesra Wanita Muslim di Anugerah Pelancongan Halal Tahunan oleh Halal in Travel Awards 2023.

Selain itu, ITC turut menerima Anugerah Strategic Business Alliance melalui The BrandLaureate World Halal Best Brand E-Branding Awards 2021. Program ikonik ITC iaitu Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR; Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition) telah menerima anugerah BrandLaureate Brand of the Year Award 2024 dalam kategori Kecemerlangan dalam Solusi Pelancongan Islam dan Hospitaliti Mesra Muslim. Ini merupakan pengiktirafan kepada usaha ITC memformulasi strategi baharu untuk membangunkan dan mengembangkan segmen pelancongan Islam di Malaysia. Pengiktirafan ini juga memangkin motivasi ITC untuk terus memperkuat usaha sebagai penggerak utama dan institusi tonggak demi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju MFTH.

#ITM2025 #IslamicTourismMonth #ExperienceITM2025 #DiscoverMFAR #ITMTikTokChallenge2025 #IslamicTourismCentre #MuslimFriendlyMalaysia #MalaysiaMesraMuslim #KembaraPenuhYakin 

Pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi wakil media kami:
Anis Rozalina Ramli : +6012 321 9137
Nadhirah Aripin : +6019 356 0530
Nurin Sufia Muazamir : +6019 8013 400
Email : comms@itc.gov.my

Ikuti ITC dan ITM di platform media sosial berikut:
Facebook : Islamic Tourism Month | Islamic Tourism Centre
Instagram : itm_itc | itc_my
TikTok : itc_my
Youtube : Islamic Tourism Centre
LinkedIn : Islamic Tourism Centre

Scroll to Top