KUALA LUMPUR, 5 September 2025 – Islamic Tourism Centre (ITC) meneruskan penganjuran program ikonik Hari Terbuka Masjid (MOD) sebagai sebahagian daripada pengisian Islamic Tourism Month (ITM) 2025. Program ini bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap warisan Islam Malaysia serta mempromosikan pelancongan mesra Muslim melalui pendekatan yang inklusif dan berteraskan komuniti.
MOD membuka pintu masjid kepada orang awam, termasuk pelawat bukan Muslim, bagi merasai sendiri keindahan seni bina, sejarah dan peranan spiritual masjid sebagai mercu tanda budaya yang menyatukan masyarakat. Melalui lawatan berpandu, pameran dan aktiviti interaktif, MOD menggalakkan dialog antara budaya dan penghargaan terhadap warisan Islam Malaysia.
Dengan sejumlah 6,851 buah masjid di seluruh negara dan 97 daripadanya dikenal pasti sebagai masjid pelancongan, MOD memainkan peranan penting dalam mengetengahkan masjid sebagai destinasi pelancongan yang inklusif. Program ini turut menyokong usaha Malaysia untuk memperluas sektor Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH), khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
MOD akan berlangsung sepanjang September 2025 di masjid terpilih berikut:
- Masjid Al-Qodim, Sarawak – 5 ke 7 September 2025
- Masjid Alam Impian, Selangor – 6 September 2025
- Masjid Tun Abdul Aziz, Selangor – 13 September 2025
- Masjid Muhammadi, Kelantan – 15 September 2025
- Masjid Sendayan, Negeri Sembilan – 18 September 2025
- Masjid Zahir, Kedah – 20 September 2025
- Masjid Sultan Abu Bakar, Pahang – 26 dan 28 September 2025
- Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya – 27 September 2025
- Masjid Negara, Kuala Lumpur – 27 September 2025
- Masjid Muhammadiah Cina Ipoh, Perak – 28 September 2025
- Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah
Antara aktiviti menarik yang akan dianjurkan termasuk:
- Forum Kesihatan dan Jalan Santai
- Program Rentas Budaya
- Pelbagai pertandingan untuk kanak-kanak dan remaja
- Sukan Rakyat
- Forum Perdana bersama tokoh jemputan
- Jualan trak makanan
- Pameran dan persembahan
MOD turut memperkukuh inisiatif jangka panjang ITC seperti latihan Pemandu Lawatan Masjid (MosVi) dan pembangunan Direktori Masjid Pelancongan, yang kini merangkumi 51 buah masjid dan boleh diakses melalui platform My Muslim Trip di mymuslimtrip.com.
Dengan membuka pintu masjid kepada dunia, MOD membantu Malaysia memperkukuh kedudukannya bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka, tetapi juga sebagai peneraju diplomasi budaya dan persefahaman rentas agama.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, sila layari https://itm.itc.gov.my. Orang ramai juga dijemput menyertai #ExperienceITM2025 Tik Tok Challenge untuk berpeluang memenangi hadiah bernilai lebih RM50,000.
TAMAT
MENGENAI ISLAMIC TOURISM MONTH 2025
- Hari Terbuka Masjid
Acara ikonik ITM yang paling digemari, yang mana masjid-masjid terindah di Malaysia membuka pintu kepada pengunjung dari dalam dan luar negara. Terokai keindahan budaya Islam Malaysia melalui lawatan berpandu, pameran dan aktiviti komuniti yang interaktif, bertujuan memupuk kefahaman, penghargaan budaya dan hubungan bermakna.
- Penginapan
Dari tanah tinggi yang nyaman ke pantai yang hangat dan destinasi bandar yang menarik, nikmati diskaun eksklusif dan pakej khas sempena ITM 2025. Nantikan tawaran yang memenuhi selera serta keperluan keluarga, pengembara mewah, perantau muda dan ramai lagi.
- Pakej Pelancongan
Nikmati pakej pelancongan bebas-stres yang memudahkan perancangan dan menawarkan nilai hebat. Direka untuk mereka yang mencari pengembaraan dan ketenangan. Setiap pakej menggabungkan elemen lancar, mudah, selesa dan pengalaman tulen yang mengasyikkan.
- Kecantikan, Kesihatan dan Spa
Dalam era penjagaan diri dan gaya hidup seimbang yang semakin menjadi aspek penting, ITM 2025 menghimpunkan pilihan spa, pusat kecantikan dan kesihatan yang menenangkan. Daripada rawatan tradisional Melayu hingga terapi moden, setiap perkhidmatan disusun dengan teliti, termasuk pilihan mesra jantina untuk ketenangan minda.
- Makanan dan Minuman
Makan adalah keperluan, tetapi sempena ITM 2025, lebih daripada sekadar mengisi perut setiap hidangan menjadi peluang untuk meneroka. Nikmati pelbagai sajian halal dengan promosi istimewa yang menjadikan pengalaman menjamu selera lebih memuaskan dan menyeronokkan.
- Acara dan Pameran
Tingkatkan kemahiran, perluaskan rangkaian dan sertai pelbagai acara serta pameran sepanjang bulan pelancongan ini. Bertemu dengan individu yang berkongsi minat di acara utama seperti Global Halal Summit (GHaS) (16 hingga 18 September 2025) dan Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) (17 hingga 20 September 2025). Program latihan MFTG anjuran ITC juga dibuka untuk pendaftaran kepada pemain industri yang layak, bersama aktiviti lain seperti sesi peningkatan kemahiran spa dan kecantikan serta acara mendaki berpandu yang menggabungkan pembelajaran, rekreasi dan gaya hidup.
- Beli-belah
Terapi membeli-belah kini hadir dengan ganjaran tambahan sepanjang bulan pelancongan ini. Daripada keperluan harian hingga barangan mewah yang diidamkan, promosi khas menjadikan masa ini paling sesuai untuk membeli apa sahaja yang anda perlukan dan mahukan.
- Tarikan Pelancongan dan Taman Tema
Inilah masa terbaik untuk meneroka pelbagai tarikan Malaysia dari muzium dan mercu tanda budaya hingga destinasi mesra keluarga seperti Taman Tema Berjaya Times Square dan banyak lagi.
MENGENAI ISLAMIC TOURISM CENTRE
ITC merupakan sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang diberi mandat untuk membentuk segmen Pelancongan Islam untuk Malaysia. ITC mempromosikan Pelancongan Mesra Muslim (MFT) dengan menawarkan kajian pasaran, latihan dan khidmat rundingcara untuk pembangunan industri serta penarafan perkhidmatan dan pertukaran maklumat mengenai perkhidmatan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH).
Malaysia telah diiktiraf sebagai negara utama dalam sektor MFTH di rantau ini oleh State of the Global Islamic Economy (SGIE) Report 2025. Malaysia turut mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi Mesra Muslim utama dalam Mastercard-CrescentRating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2025, kedudukan yang dipertahankan sejak indeks tersebut dilancarkan pada tahun 2015. Pada masa sama, Malaysia turut diiktiraf sebagai Destinasi Utama Mesra Muslim Tahunan (OIC) dan Destinasi Utama Mesra Wanita Muslim di Anugerah Pelancongan Halal Tahunan oleh Halal in Travel Awards 2023.
Selain itu, ITC turut menerima Anugerah Strategic Business Alliance melalui The BrandLaureate World Halal Best Brand E-Branding Awards 2021. Program ikonik ITC iaitu Jaminan dan Pengiktirafan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFAR; Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition) telah menerima anugerah BrandLaureate Brand of the Year Award 2024 dalam kategori Kecemerlangan dalam Solusi Pelancongan Islam dan Hospitaliti Mesra Muslim. Ini merupakan pengiktirafan kepada usaha ITC memformulasi strategi baharu untuk membangunkan dan mengembangkan segmen pelancongan Islam di Malaysia. Pengiktirafan ini juga memangkin motivasi ITC untuk terus memperkuat usaha sebagai penggerak utama dan institusi tonggak demi memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju MFTH.
#ITM2025 #IslamicTourismMonth #ExperienceITM2025 #DiscoverMFAR #ITMTikTokChallenge2025 #IslamicTourismCentre #MuslimFriendlyMalaysia #MalaysiaMesraMuslim #KembaraPenuhYakin
Pertanyaan dan maklumat lanjut, sila hubungi wakil media kami:
Ayu Nordin : +6019 374 6798
Hazim Naufal : +6019 675 1778
Email : pr.pinkandgrey@gmail.com | comms@itc.gov.my
Ikuti ITC dan ITM di platform media sosial berikut:
Facebook : Islamic Tourism Month | Islamic Tourism Centre
Instagram : itm_itc | itc_my
TikTok : itc_my
Youtube : Islamic Tourism Centre
LinkedIn : Islamic Tourism Centre