PUTRAJAYA, 18 Ogos 2025 – Islamic Tourism Month (ITM) kembali untuk edisi keempat, mengajak warga Malaysia dan pelancong antarabangsa menyelusuri semula keindahan negara ini melalui perspektif Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH). Dianjurkan oleh Islamic Tourism Centre (ITC), ITM 2025 berlangsung dari 18 Ogos hingga 30 September, menampilkan keunikan, kepelbagaian dan warna-warni Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim terkemuka dunia.
Kempen tahun ini menonjolkan lapan (8) kategori; Hari Terbuka Masjid, Penginapan, Pakej Pelancongan, Spa, Kecantikan dan Kesihatan, Makanan dan Minuman, Acara dan Pameran, Beli-belah, dan Produk Pelancongan dan Taman Tema, yang menawarkan keasyikan di seluruh negara melalui pengalaman inklusif lagi bermakna yang disesuaikan khusus untuk pelawat tempatan dan antarabangsa; keluarga, pengembara solo, usahawan dan peminat kembara.
Bulan pelancongan ini menjanjikan pengalaman kembara terbaik, sejajar dengan pengiktirafan terhadap Malaysia yang terus membuktikan keunggulannya dalam pelancongan mesra Muslim apabila sekali lagi meraih tempat teratas dalam Global Muslim Travel Index (GMTI) 2025, merangkul 10 tahun pengiktirafan berturut-turut sebagai destinasi pilihan utama dunia. Kejayaan ini bukan sekadar kedudukan carta, ia lahir daripada gabungan kemudahan solat yang tersedia, akses pelancongan yang inklusif, penyediaan makanan halal yang meluas, serta dasar pelancongan yang progresif.
ITM 2025 juga meneruskan program ikoniknya iaitu Hari Terbuka Masjid. Sepanjang bulan pelancongan ini, masjid-masjid terpilih di seluruh negara akan membuka pintu kepada orang ramai untuk lawatan berpandu, pameran dan aktiviti komuniti setempat. Inisiatif ini bertujuan memupuk kefahaman, keterangkuman dan pertukaran budaya, sambil memberi peluang unik untuk menghargai peranan spiritual, sejarah dan sosial masjid dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia.
SERUAN KOLABORASI: SERTAI RAKAN ITM 2025
ITC menyeru pemain industri pelancongan dan hospitaliti di seluruh Malaysia untuk menyertai kempen bulan pelancongan ini sebagai rakan rasmi ITM 2025. Melalui pendedahan jenama, capaian pasaran dan peluang ekonomi, perniagaan akan meraih manfaat daripada akses kepada platform promosi ITC, menyerlahkan keberadaan pemain industri dalam segmen pelancongan bernilai tinggi, serta penjajaran dengan objektif pelancongan nasional Visit Malaysia 2026 (VM2026).
“Benih yang ditanam pada tahun 2022 kini telah bercambah menjadi acara yang mencerminkan kemesraan, kepelbagaian dan hospitaliti Malaysia,” kata Nur Alyssa Coraline Yussin, Pemangku Ketua Pengarah ITC.
“Kami mengalu-alukan penyertaan perniagaan dalam gerakan yang semakin berkembang ini. Dengan menyertai ITM 2025, rakan kongsi akan memperoleh platform penjenamaan yang kukuh, akses kepada pasaran pelancong Muslim yang pesat berkembang serta peluang untuk menyokong persediaan Malaysia menuju VM2026”.
“Dengan ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (Muslim-Friendly Tourism and Hospitality––MFTH) yang terus berkembang, ITM merupakan peluang tepat untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan yang inklusif, berteraskan nilai dan relevan secara budaya, sambil menjana impak sebenar untuk perniagaan,” tambahnya.
Sejak diperkenalkan, ITM telah menarik penyertaan lebih 300 organisasi, menyumbang lebih daripada RM5 juta nilai terkumpul kepada landskap pelancongan negara. Usaha kolektif ini telah memperkukuh penawaran mesra muslim Malaysia dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan yang mampan dan berteraskan nilai.
KREATIF & MENANG: CABARAN TIKTOK ITM 2025 KEMBALI
Cabaran TikTok ITM yang dinanti-nantikan juga kembali lagi pada tahun ini. Pencipta kandungan digital dijemput untuk meneroka destinasi rakan ITM dan berkongsi pengalaman mereka menggunakan tanda pagar #ExperienceITM2025. Dengan hanya tiga langkah mudah; Lawat, Rakam, dan Tular (Visit, Video, and Viral), peserta paling kreatif berpeluang memenangi hadiah menarik dengan nilai keseluruhan lebih dari RM50,000, termasuk pakej percutian ke Xi’an, China, dan percutian pelayaran eksklusif bersama Aroya Cruises.
MENUJU VISIT MALAYSIA 2026
Menjelang VM2026, ITM 2025 berfungsi sebagai platform strategik memperkukuh kesiapsiagaan industri, menarik perhatian global dan meraikan keunikan Malaysia yang sebenar. Penyertaan dalam ITM bukan sahaja menyumbang kepada matlamat pelancongan negara, bahkan penglibatan dalam usaha berteraskan pengalaman tulen, nilai inklusif dan impak jangka panjang.
KEPENGERUSIAN ASEAN: MALAYSIA MENDUKUNG ITM 2025
ITM tahun ini amat bermakna apabila Malaysia berperanan sebagai Pengerusi ASEAN, yang membuka ruang strategik memperkukuh kerjasama pelancongan serantau. Dengan nilai budaya yang dikongsi bersama dan minat yang kian meningkat terhadap pelancongan mesra Muslim, ITM 2025 menawarkan peluang istimewa kepada pelawat dari negara anggota ASEAN untuk meneroka pelbagai tawaran Malaysia. Bagi ITC, ini dijangka mendorong penyertaan dan pencapaian yang lebih memberangsangkan berbanding edisi sebelumnya, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hub pelancongan inklusif dan kaya pengalaman di rantau Asia Tenggara.
JEMPUTAN PENYERTAAN UNTUK PERNIAGAAN
ITM 2025 terbuka kepada semua pemain industri pelancongan dan hospitaliti termasuk:
- Hotel & Resort
- Pusat Kecantikan & Spa
- Taman Tema
- Pusat Beli-belah
- Peruncit
- Masjid
- Pungurus Acara
- Penyedia Latihan
- Perusahaan pelancongan yang menawarkan produk dan perkhidmatan Halal atau mesra muslim.
Pendaftaran kini dibuka. Perniagaan dan perusahaan yang berminat boleh mendaftar sebagai rakan rasmi ITM 2025 melalui pautan berikut: https://forms.gle/cXCC2dgfHvTpYoRr7.
Dapatkan inspirasi dan informasi terkini dengan mengikuti kami di laman Instagram (@itm_itc) dan Facebook (Islamic Tourism Month).
Dikeluarkan oleh:
Unit Komunikasi Korporat
KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA (MOTAC)
Tel: 03-8000 8000 Fax: 03-8891 7181
Website: www.motac.gov.my Emel: group.ukk@motac.gov.my
Facebook, Instagram, X & TikTok: @mymotac
