ADA APA DENGAN BAGAN DATUK?

SEMPENA NATIONAL MOSQUE OPEN DAY PERINGKAT KEBANGSAAN, TEROKAI TUJUH TARIKAN DI MUARA SUNGAI PERAK INI YANG PATUT DIKUNJUNGI – DAN YANG KE-7 PALING HEALING SEKALI!

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Kalau sebut Bagan Datuk, apa yang terlintas dalam fikiran anda? Tanah Kelapa? Memang betul. Namun, itu baru mukadimahnya sahaja.

Siapa sangka daerah sekecil ini sebenarnya menyimpan pelbagai khazanah alam dan kaya dengan sejarah. Daripada fenomena Blue Tears yang membuat sungai bercahaya pada waktu malam kepada Sky Mirror yang memantulkan imej langit, sehinggalah kepada taman bunga matahari yang cantik untuk bergambar. Pendek kata, semuanya ada di Bagan Datuk.

Apa yang lebih menarik lagi, Masjid Tuminah Hamidi di Bagan Datuk yang seolah-olah terapung di muara sungai telah dipilih sebagai lokasi pertama untuk memperkenalkan National Mosque Open Day (NMOD) di peringkat kebangsaan.

Sekiranya anda telah merancang untuk ke NMOD, apa kata tambah satu hari lagi dalam itinerari anda? Daripada datang untuk satu acara sahaja, ambil peluang ini untuk meneroka sendiri “hidden gems” yang terdapat di Bagan Datuk.

Jom tengok apa yang ada di Bagan Datuk…

1. Saksikan fenomena Blue Tears yang membuat sungai bercahaya pada waktu malam 

Pernah nampak laut bercahaya biru pada waktu malam? Fenomena ini dikenali sebagai “blue tears” atau “air mata biru” iaitu kejadian semula jadi yang membuatkan permukaan laut bersinar apabila berlaku pergerakan pada air, sama ada disebabkan oleh ombak, bot atau hidupan dan manusia yang melalui kawasan tersebut.

Menariknya, cahaya itu bukan datang daripada lampu atau bahan kimia, tetapi dihasilkan oleh organisma laut mikroskopik yang dikenali sebagai dinoflagelat. Apabila plankton ini terganggu oleh pergerakan air, ia akan memancarkan cahaya melalui proses bioluminesens, sekali gus menghasilkan pemandangan biru yang memukau pada waktu malam.

2. Bergambar di Sky Mirror yang seolah-olah memantulkan seluruh langit

Jangan tak tahu, Bagan Datuk pun ada sky mirror-nya sendiri. Fenomena luar biasa ini membolehkan pengunjung menyaksikan pantulan langit di  permukaan air, seolah-olah berdiri di atas cermin raksasa. Fenomena itu hanya muncul beberapa kali setiap bulan, ketika air laut surut sepenuhnya sekitar waktu bulan baharu atau bulan penuh.

3. Nikmati aksi helang menyambar makanan di Sungai Burung

Selain Blue Tears, Sungai Burung juga terkenal dengan aktiviti melihat burung helang menyambar makanan. Di Bagan Sungai Burung, Bagan Datuk, anda boleh saksikan sendiri 30 hingga 50 ekor helang turun menyambar makanan di muara Selat Melaka ketika waktu petang. Pemandangan yang memang “rare” dan memang seronok untuk disaksikan!

4. Hamparan bunga matahari yang mewarnai Bagan Datuk

Siapa sangka Bagan Datuk mempunyai taman bunga matahari yang cukup cantik? Hamparan bunga kuning yang mekar menjadikan lokasi ini antara tempat bergambar paling popular di daerah ini. Sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan, setiap sudut di sini pasti menceriakan galeri telefon anda.

5. Di sebalik gelaran “Tanah Kelapa” Bagan Datuk

Tahukah anda bahawa suatu ketika dahulu, Bagan Datuk merupakan antara pengeluar kelapa terpenting di dunia? Kedudukannya sebagai pusat pengeluaran kelapa telah menjadikan Bagan Datuk sebuah pelabuhan antarabangsa dan pusat perdagangan utama yang membekalkan hasil kelapa ke pelbagai negara pada awal abad ke-20. Kini, warisan tersebut diteruskan melalui penyelidikan dan pembangunan industri kelapa oleh MARDI. Jika anda ingin mengetahui mengapa daerah ini begitu sinonim dengan kelapa, inilah tempatnya.

6. Terokai agropelancongan koko 

Selain kelapa, Bagan Datuk juga menawarkan pengalaman agro pelancongan berasaskan koko. Dikendalikan oleh Lembaga Koko Malaysia Bagan Datuk, pengunjung boleh mengenali proses penanaman dan penghasilan produk koko sambil menyokong hasil tempatan yang diusahakan oleh komuniti setempat.

Program-program yang dirangka adalah berkonsepkan Cocoa Agrotourism seperti penyediaan pakej Cocoa Tour and Education.

7. Akhiri eksplorasi anda di Bagan Datuk dengan mengunjungi Masjid Tuminah Hamidi sempena National Mosque Open Day peringkat kebangsaan

Selepas menikmati keindahan alam dan produk pelancongan Bagan Datuk, jangan lepaskan peluang menghadiri National Mosque Open Day (NMOD) Peringkat Kebangsaan, yang berlangsung dari 13 hingga 15 Ogos 2026 di Masjid Tuminah Hamidi dan Dataran Bagan Datuk.

Program yang julung kali dianjurkan di peringkat kebangsaan ini mengalu-alukan orang ramai daripada pelbagai latar belakang untuk menghayati keindahan seni bina masjid, memahami peranan masjid sebagai pusat komuniti serta menyertai pelbagai aktiviti menarik yang disediakan sepanjang penganjuran.

Antara aktiviti yang akan berlangsung sepanjang NMOD:
🎤 Pertandingan Azan
⚽ Pertandingan Futsal
✍️ Demonstrasi Khat
🏹 Aktiviti Memanah
🎮 Pertandingan E-Sports
🕌 Mosque Tour
🎙️ Ceramah oleh 𝐀𝐥 𝐅𝐚𝐝𝐡𝐢𝐥 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐇𝐚𝐛𝐢𝐛 𝐀𝐥𝐢 𝐙𝐚𝐞𝐧𝐚𝐥 𝐀𝐛𝐢𝐝𝐢𝐧 𝐀𝐥𝐡𝐚𝐦𝐢𝐝 dan 𝐀𝐥 𝐅𝐚𝐝𝐡𝐢𝐥 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐇𝐚𝐛𝐢𝐛 𝐍𝐚𝐣𝐦𝐮𝐝𝐝𝐢𝐧 𝐎𝐭𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐀𝐥𝐤𝐡𝐞𝐫𝐞𝐝
🎶 Persembahan Kumpulan Qasidah

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web mymuslimtrip.com atau ikuti media sosial Islamic Tourism Centre di Facebook dan Instagram.

Jadi, jika anda sedang mencari destinasi hujung minggu yang menawarkan gabungan alam semula jadi, agro pelancongan, sejarah dan pengalaman budaya, mungkin sudah tiba masanya untuk memberi peluang kepada Bagan Datuk.

Siapa sangka, anda mungkin pulang bukan sekadar dengan koleksi gambar yang cantik, tetapi juga pengalaman yang sukar dilupakan.

TAMAT

Mengenai Program Mosque Open Day
Program Mosque Open Day yang diadakan setiap bulan di masjid-masjid terpilih memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. Menerusi program ini, pengunjung dapat menghayati keunikan seni bina masjid, memahami warisan serta budaya Islam, di samping merasai sendiri suasana mesra dan keterbukaan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Islam.

Menerusi lawatan berpandu, perkongsian ilmu, aktiviti kebudayaan dan pelbagai aktiviti mesra keluarga, pengunjung berpeluang mengenali Islam dengan lebih dekat sambil menghayati nilai-nilai murni seperti kasih sayang, layanan mesra, keharmonian, saling memahami dan perpaduan yang menjadi teras ajaran Islam.

Kerjasama ini juga mencerminkan usaha berterusan untuk mengangkat masjid sebagai antara aset penting dalam sektor pelancongan dan warisan negara. Selain berfungsi sebagai tempat beribadah, masjid turut menjadi pusat komuniti yang mempamerkan keunikan seni bina Islam, budaya serta nilai hospitaliti. Melalui inisiatif seperti Mosque Open Day, pengunjung bukan sahaja dapat merasai pengalaman tersebut secara langsung, malah dapat memupuk persefahaman dan mengeratkan hubungan antara masyarakat.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan pelancongan berasaskan masjid sebagai salah satu tarikan bermakna dalam penawaran pelancongan mesra Muslim di Malaysia.

Mengenai Islamic Tourism Centre

Islamic Tourism Centre (ITC) merupakan sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan segmen Pelancongan Islam bagi Malaysia. ITC memperjuangkan pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH) melalui penyediaan penyelidikan dan risikan pasaran, latihan, khidmat rundingan pembangunan industri, piawaian serta pengiktirafan perkhidmatan, dan pertukaran maklumat.

Untuk maklumat lanjut, sila e-mel comms@itc.gov.my atau individu yang berkenaan:

Anis Ramli, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 012 321 913 5

Siti Rahmah Lehan, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 012 9070 993

Nurin Sufia Muazamir, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 019 8013 400 9

Scroll to Top