TEMERLOH, PAHANG, 4 OGOS 2026: Islamic Tourism Centre (ITC) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Pengusaha Homestay Malaysia (PPHM) sempena Program Latihan Kompetensi Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) Lite yang berlangsung di Kampungstay Desa Murni, di sini, hari ini.
MoU tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pengarah ITC, Encik Mohammad Faisal Abu Suaib Khan, dan Presiden PPHM, Dato’ Haji Sahariman Hamdan.
Pemeteraian MoU ini merupakan langkah strategik ke arah memperkukuh kerjasama antara ITC dan PPHM bagi menggalakkan penyertaan pengusaha homestay dalam program pengiktirafan MFAR secara berterusan.
Menerusi MoU ini, ITC dan PPHM akan memperluas pelaksanaan MFAR dalam kalangan pengusaha homestay, termasuk melalui program latihan serta galakan penyertaan ke arah memperoleh Pengiktirafan MFAR.
“MFAR bukan sekadar pengiktirafan, tetapi satu panduan untuk membantu pengusaha homestay meningkatkan kualiti perkhidmatan serta memenuhi keperluan pelancong Muslim.
“Melalui kerjasama antara ITC dan PPHM, kita menyasarkan penyertaan 100 pengusaha homestay dalam laluan MFAR dan berharap lebih ramai pengusaha akan mengambil peluang ini untuk memperkukuh daya saing produk masing-masing. Pada masa yang sama, pihak ITC juga akan meningkatkan usaha bagi memastikan ekosistem MFTH ini dapat diperluaskan di seluruh negara,” kata Ketua Pengarah ITC, Encik Mohammad Faisal Abu Suaib Khan.
Sementara itu, Presiden PPHM, Dato’ Haji Sahariman Hamdan, berkata: n“Pelaksanaan Program Latihan Kompetensi MFAR merupakan satu usaha penting dalam memperkasa pengusaha homestay dengan pengetahuan dan kemahiran bagi memenuhi keperluan pelancongan mesra Muslim. Saya berharap kerjasama strategik bersama ITC dapat membuka lebih banyak peluang pembangunan kapasiti kepada komuniti homestay di seluruh negara.”
Program MFAR Lite ini memberi pendedahan kepada para peserta tentang pelaksanaan MFAR secara menyeluruh, termasuk pemahaman terhadap garis panduan, proses permohonan dan dokumentasi pengiktirafan, selain aspek berkaitan Pensijilan Halal Malaysia, prosedur sertu, penyediaan makanan dan minuman halal serta penggunaan logo MFAR.
Selain mengikuti sesi pembelajaran, peserta turut menjalani latihan penyediaan dokumentasi permohonan MFAR dan penilaian bertulis bagi mengukur kefahaman serta penguasaan mereka terhadap perkara yang dipelajari sebelum menerima Sijil Kompetensi MFAR.
Seramai 100 ahli PPHM akan mengikuti Program Latihan Kompetensi MFAR Lite secara berperingkat. Siri pertama program ini melibatkan penyertaan 80 pengusaha homestay, manakala siri seterusnya akan dilaksanakan mengikut zon sehingga melengkapkan sasaran penyertaan keseluruhan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen ITC dalam memperluaskan pelaksanaan MFTH melalui pembangunan kompetensi pemain industri pelancongan, khususnya para pengusaha homestay, agar lebih bersedia memenuhi keperluan pelancong Muslim dan seterusnya menyokong kedudukan Malaysia sebagai peneraju destinasi Pelancongan Mesra Muslim di peringkat global.
Pautan ke Kit Media Digital
Statistik Homestay
TAMAT
Mengenai Islamic Tourism Centre
Islamic Tourism Centre (ITC) merupakan sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan segmen Pelancongan Islam bagi Malaysia. ITC memperjuangkan pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH) melalui penyediaan penyelidikan dan risikan pasaran, latihan, khidmat rundingan pembangunan industri, piawaian serta pengiktirafan perkhidmatan, dan pertukaran maklumat.
Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR)
Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) merupakan program pengiktirafan kepada produk dan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim berdasarkan standard yang dibangunkan oleh Malaysia dan diterima pakai di peringkat antarabangsa. MFAR menyokong perniagaan yang menawarkan nilai tambah kepada pelancong Muslim melalui produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan berasaskan syariah. Pada masa ini, MFAR merangkumi skim penginapan, perniagaan pengendalian pelancongan (travel operating business) serta spa dan kesejahteraan (spa and wellness). Bagi MFAR untuk skim penginapan, terdapat empat kategori iaitu Lite, Silver, Gold, dan Platinum—semakin tinggi kategori, semakin komprehensif elemen mesra-Muslim yang disediakan.
Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG)
Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG) merupakan pengiktirafan yang dianugerahkan kepada pemandu pelancong yang telah mendapat lesen daripada pihak berkuasa berkaitan, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta berjaya menamatkan Kursus Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG). Inisiatif ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kompetensi dan kualiti penyampaian perkhidmatan pemandu pelancong dalam memenuhi keperluan dan keutamaan pelancong Muslim berdasarkan tuntutan agama mereka.
Untuk maklumat lanjut, sila e-mel comms@itc.gov.my atau individu yang berkenaan:
Anis Ramli, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 012 321 913
Siti Rahmah Lehan, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 012 9070 993
Nurin Sufia Muazamir, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 019 8013 400






