NATIONAL MOSQUE OPEN DAY 2026 PERKASA EKONOMI KOMUNITI SETEMPAT

BAGAN DATUK, PERAK, 15 OGOS 2026: Penganjuran National Mosque Open Day (NMOD) 2026 di Masjid Tuminah Hamidi dan Dataran Bagan Datuk membuka ruang kepada pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) untuk meraih manfaat ekonomi pelancongan menerusi peluang memasarkan produk, meningkatkan jualan serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan tempatan kepada pengunjung.

NMOD 2026 yang julung kalinya dianjurkan pada peringkat kebangsaan ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, hari ini.

Dianjurkan oleh Islamic Tourism Centre (ITC), agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), NMOD 2026 berlangsung dari 13 hingga 15 Ogos 2026 di Masjid Tuminah Hamidi dan Dataran Bagan Datuk, dengan pelbagai pengisian yang menggabungkan elemen kerohanian, komuniti, budaya, rekreasi dan aktiviti keluarga.

Penglibatan pengusaha tempatan dalam NMOD turut memperlihatkan bagaimana penganjuran program pelancongan mampu membuka peluang perniagaan secara langsung kepada komuniti setempat. Lebih kurang 20 pempamer mengambil bahagian dalam karnival ini, merangkumi agensi kerajaan, pemain industri pelancongan, pengusaha produk tempatan serta perusahaan berkaitan gaya hidup dan kesejahteraan.

Antara pempamer yang mengambil bahagian termasuk ASWARA, Balai Seni Negara, Telaga Sinar, Tourism Perak, Persatuan Penggiat Pelancongan Seni Budaya Warisan Kraf Negeri Selangor, AORA Spa & Wellness, Jay Ibrahim Travel & Tours, Rizqbaraqa Teknologi Sdn Bhd, Bagan Datuk Ori, Lembaga Koko Malaysia dan Sri Ayu Coklat.

Selain pameran, pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai juadah makanan dan minuman daripada pengusaha tempatan yang membuka reruai sepanjang karnival. Antaranya termasuk Bancuh Cafe, CHAFUFA, Sukaloka, Nasi Ayam Basmathi, Atie Kitchen dan Pakat Tak Kendoq.

Kehadiran pengunjung ke NMOD, sekali gus memberi peluang kepada pengusaha makanan, minuman dan produk tempatan untuk memperkenalkan produk mereka secara terus kepada pelanggan di samping membina kesedaran terhadap jenama dan produk yang berpotensi untuk dikembangkan ke pasaran lebih luas.

PENGIKTIRAFAN KEPADA USAHA PROMOSI PELANCONGAN MASJID

Pada majlis perasmian tersebut, ITC turut menyampaikan cenderahati kepada dua orang pempengaruh media sosial yang telah menjayakan program Masjid Hopping sempena bulan Ramadan anjuran ITC. Mereka terdiri daripada Muhammad Azrie Idzmeer Rosli dan Muhamad Arif Aiman Che Ariffin.

Selain itu, wakil Aldea Labs, Encik Aleksei Pankov dan Encik Lee Wei Chuan turut menerima cenderahati atas inisiatif menghasilkan video lawatan maya bertajuk “360 Degree Virtual Mosque Tours”, yang memperkenalkan pengalaman lawatan masjid secara digital kepada masyarakat. Kerjasama mereka dengan ITC telah menghasilkan video lawatan maya untuk lima masjid berikut di laman web 360mosques.com: Masjid Jamek Cina Muslim Klang, Masjid Sri Sendayan, Negeri Sembilan, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur dan Masjid Tuminah Hamidi, Bagan Datuk. 

Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan ITC dalam memperluas promosi Pelancongan Masjid melalui kandungan digital, media sosial dan pengalaman pelancongan yang lebih interaktif, sekali gus meningkatkan keterlihatan masjid sebagai antara produk dan destinasi Pelancongan Islam.

PELBAGAI AKTIVITI DITAWARKAN DI KARNIVAL NMOD

NMOD 2026 turut menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik pengunjung daripada pelbagai peringkat umur, termasuk Brisk Walk bersama pelakon Bell Ngasri, kejohanan 3×3 Street Soccer, pertandingan e-sport, pertandingan memanah, demonstrasi khat, pertandingan azan dan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak.

Karnival ini turut dimeriahkan dengan penampilan Aril Pilus dan Elly Mazlein yang menemani pengunjung menikmati pelbagai aktiviti seperti demonstrasi, sesi perkongsian, pameran, cabutan barakah dan aktiviti kebudayaan.

Program NMOD ini turut menampilkan Alfadhil Ustaz Habib Ali Zaenal Abidin Alhamid, Pengerusi Yayasan Ar-Riayah dan Alfadhil Ustaz Habib Najmuddin Othman Alkhered, Timbalan Pengerusi Yayasan Ar-Riayah yang telah menyampaikan tausiyyah masing-masing di Masjid Tuminah Hamidi pada 13 Ogos.

LAWATAN SUAI KENAL MFTG

Sempena NMOD, ITC turut mengadakan lawatan suai kenal untuk 55 peserta daripada Muslim-Friendly Tourist Guide (MFTG) dan lapan orang wakil media bagi mengenali produk-produk pelancongan yang terdapat di Teluk Intan, Bagan Datuk dan Kg. Gajah.

Antara tempat menarik yang telah mereka lawati termasuk Menara Condong Teluk Intan, Riverfront Teluk Intan, Ladang Bunga Matahari Bagan Datuk, Kompleks Sejarah Pasir Salak, Masjid Daerah Sultan Idris II dan Masjid Tuminah Hamidi.

PRA-PELANCARAN ISLAMIC TOURISM MONTH 2026

NMOD 2026 turut menjadi platform untuk pra-pelancaran Islamic Tourism Month (ITM) 2026 yang akan berlangsung sepanjang bulan September.

ITM merupakan pasaran dalam talian (marketplace) yang menghimpunkan pelbagai produk, destinasi dan pengalaman pelancongan mesra-Muslim dari seluruh negara, sekali gus membuka peluang kepada para pemain industri untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pasaran yang lebih luas.

ITM 2026 akan tampil dengan wajah baharu yang lebih dinamik termasuk logo baharu dan laman web yang lebih mesra-pengguna serta kepelbagaian dan keunikan tawaran pelancongan mesra-Muslim di seluruh negara.

Program ikonik ITC iaitu Mosque Open Day (MOD) juga merupakan sebahagian daripada pengisian Islamic Tourism Month.

TAMAT

Mengenai Program Mosque Open Day
Program Mosque Open Day yang diadakan setiap bulan di masjid-masjid terpilih memberi peluang kepada orang ramai untuk mengenali Islam dengan lebih dekat. Menerusi program ini, pengunjung dapat menghayati keunikan seni bina masjid, memahami warisan serta budaya Islam, di samping merasai sendiri suasana mesra dan keterbukaan yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Islam.

Menerusi lawatan berpandu, perkongsian ilmu, aktiviti kebudayaan dan pelbagai aktiviti mesra keluarga, pengunjung berpeluang mengenali Islam dengan lebih dekat sambil menghayati nilai-nilai murni seperti kasih sayang, layanan mesra, keharmonian, saling memahami dan perpaduan yang menjadi teras ajaran Islam.

Kerjasama ini juga mencerminkan usaha berterusan untuk mengangkat masjid sebagai antara aset penting dalam sektor pelancongan dan warisan negara. Selain berfungsi sebagai tempat beribadah, masjid turut menjadi pusat komuniti yang mempamerkan keunikan seni bina Islam, budaya serta nilai hospitaliti. Melalui inisiatif seperti Mosque Open Day, pengunjung bukan sahaja dapat merasai pengalaman tersebut secara langsung, malah dapat memupuk persefahaman dan mengeratkan hubungan antara masyarakat.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha memperkasakan pelancongan berasaskan masjid sebagai salah satu tarikan bermakna dalam penawaran pelancongan mesra Muslim di Malaysia.

Mengenai Islamic Tourism Centre

Islamic Tourism Centre (ITC) merupakan sebuah entiti di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia yang dipertanggungjawabkan untuk membangunkan segmen Pelancongan Islam bagi Malaysia. ITC memperjuangkan pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH) melalui penyediaan penyelidikan dan risikan pasaran, latihan, khidmat rundingan pembangunan industri, piawaian serta pengiktirafan perkhidmatan, dan pertukaran maklumat.

Untuk maklumat lanjut, sila e-mel comms@itc.gov.my atau individu yang berkenaan:

Anis Ramli, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 012 321 913 5

Siti Rahmah Lehan, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 012 9070 993

Nurin Sufia Muazamir, Unit Komunikasi Korporat, ITC di 019 8013 400 9

Scroll to Top